92 tahun bukan halangan sertai marathon

Buatin Blandong

Kota Kinabalu: Seorang warga emas membuktikan bahawa umur hanya sekadar angka apabila berjaya menamatkan larian separuh marathon 10 kilometer pada usia 92 tahun, baru-baru ini.

Buatin Blandong yang sebelum ini mencatat rekod sebagai pendaki tertua menawan puncak Gunung Kinabalu pada usia 90 tahun, dua tahun lalu, adalah antara peserta veteran yang menyertai acara tahunan Borneo Marathon itu pada Mei lalu.

Berdasarkan laporan media tempatan, pembabitannya dalam acara lasak itu adalah yang kedua selepas tahun lalu, menjadikan beliau seorang warga emas yang aktif dalam acara yang memerlukan tahap kecergasan tinggi.

Mengulas pembabitan dirinya dalam aktiviti sukan lasak, Buatin berkata beliau mahu menunjukkan kepada cucunya dan generasi muda mengenai perlunya untuk terus bersenam tanpa mengira berapa usia.

“Saya berharap dapat menyertai Borneo Marathon sehingga umur saya 95 tahun,” katanya yang menyertai acara itu pada 5 Mei lalu bagi edisi tahun ini, yang kebetulan adalah tarikh ulang tahun kelahirannya ke-92 tahun.

Beliau mengakui tarikh berkenaan adalah sesuatu yang istimewa kerana dapat menyertai larian marathon pada sambutan harijadinya.

Bagaimanapun, katanya penyertaannya dalam acara berkenaan bukan untuk mencatatkan rekod, sebaliknya hanya untuk menamatkan larian sejauh 10 kilometer.

“Misi utama saya ialah untuk menyelesaikan larian 10 kilometer itu. Bagi menyelesaikan dalam tempoh masa yang singkat adalah satu bonus,” katanya.

Buatin turut mengakui cabaran yang dihadapinya untuk menamatkan larian berkenaan termasuk tidak dapat berjalan pantas, selain masalah lutut.

Beliau turut berkongsi mengenai pentingnya membuat persiapan dan latihan seperti mendaki bukit untuk menguatkan kaki dan berjalan kaki seperti yang kerap dilakukannya.

Katanya, beliau banyak melakukan latihan dengan berjalan kaki dan cuba untuk melakukannya dua hingga tiga kali seminggu di pantai Tanjung Aru bersama anak perempuannya.

Recent Post

Scroll to Top